|
![]() |
| Pada
6hb Jun, 1975 di Seminar Pembangunan Pekebun-Pekebun Kecil, hasrat hendak
menyatukan Persekutuan-persekutuan Pekebun Kecil telah diumumkan oleh
YAB. Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia,
sewaktu beliau merasmikan Pembukaan Seminar tersebut dengan kata-kata
berikut:- Saya yakin dengan adanya pekebun-pekebun kecil dalam satu badan kebangsaan ini maka usaha-usaha Kerajaan hendak memajukan sektor pekebun kecil getah akan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan berkesan lagi. Begitu juga dengan hanya satu badan tunggal memperjuangkan nasib pekebun-pekebun kecil, Kerajaan dan RISDA khususnya akan dapat menyalurkan bantuan dan kemudahan-kemudahan kepada pekebun-pekebun kecil, dengan teratur dan berkesan di samping kerjasama yang rapat bagi faedah pekebun-pekebun kecil seluruhnya.Seperti yang sedia maklum, sektor pekebun kecil mempunyai kedudukan yang istimewa di bidang pembangunan negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk membaiki dan membela nasib pekebun-pekebun kecil dengan melaksanakan berbagai projek dan aktiviti untuk meninggikan kedudukan-kedudukan ekonomi mereka.Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Pembangunan Pekebun Kecil ini dan mendoakan agar segala usaha Persatuan Pekebun Kecil akan mencapai kejayaan”. Dengan pelancaran oleh YAB. Tun Haji Abdul Razak maka Persidangan Seminar terus secara rasmi menubuhkan PKPKM, menerima draf perlembagaan dan melantik ahli-ahli Jawatankuasa Kerjanya.Selepas pendaftaran PKPKM pada 10hb Disember, 1975, ia pun terus menubuhkan Bahagian-bahagian dan Cawangan-cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia. Dengan pembubaran CMSA, PKPKM mengambil tempatnya pula di dalam beberapa Badan Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan, dan pada masa ini PKPKM mewakili dan memperjuangkan kedudukan dan nasib pekebun kecil, dan keluarganya yang mengusahakan perusahaan getah, kelapa sawit, padi, kelapa, koko dan lain-lain tanaman. Keahlian PKPKM terbahagi kepada 2 jenis iaitu Ahli Biasa/Ahli Seumur Hidup dan Ahli Kehormat. Ahli Biasa terbuka kepada sektor pekebun kecil yang mempunyai kebun yang jumlah keluasannya di bawah 100 ekar, manakala Ahli Kehormat adalah individu yang terdiri daripada cerdik pandai dan kenamaan yang pakar di dalam bidang pertanian, undang-undang dan pakar ekonomi. PKPKM mempunyai sebanyak 11 Bahagian dan 239 Cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia. Jumlah keahlian PKPKM setakat ini berjumlah 73,044 orang ahli.Sebagai badan tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan yang mewakili seluruh sektor pekebun kecil, wakil-wakil PKPKM telah dilantik sebagai ahli di dalam agensi-agensi kerajaan bagi menyampai dan menyumbangkan fikiran ke arah membangunkan sektor pekebun kecil.Selain daripada itu, wakil-wakil PKPKM juga menghadiri mesyuarat-mesyuarat di peringkat antarabangsa seperti CAC, MRPRA, IRA, ANRPC, IRSG, INRO dan lain-lain. Perkhidmatan PKPKM sebagai wakil sektor pekebun kecil dalam badan-badan tersebut adalah sangat berkesan berasaskan satu faktor iaitu wakil-wakilnya, di badan tersebut dipilih berdasarkan kebolehan, pengalaman dan dedikasi mereka.Melalui wakil-wakilnya segala pandangan dan masalah sektor pekebun kecil disalurkan ke badan-badan tersebut bagi mencari jalan penyelesaian. PKPKM menaung/mempunyai dua jentera perniagaan berikut, yang sedang bergiat di dalam bidang perniagaan:- (a) Koperasi Ladang Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Berhad yang telah ditubuhkan pada 7hb Januari, 1970 khusus untuk mentadbir Rancangan Tanaman Baru berkelompok (RTBB). (b) Pekebun Maju Holdings Berhad, serta anak-anak syarikatnya. PKPKM juga sedang merancang mengembangkan sayapnya untuk menubuhkan Bahagian-bahagian di Sabah dan Sarawak. Satu kajian yang teliti sedang dijalankan oleh Pentadbiran Pusat ke arah ini. |
|